hit counter for tumblr
CPPS - Centre for Public Policy Studies
  • Home
  • About Us
  • Events
  • Policy Areas
  • Publication
  • Resources
  • Be in The Loop
Election Watch

Rakyat sengsara jika PTPTN dimansuhkan

Date: 10 April 2012

KUALA LUMPUR 10 April - Rakyat negara ini akan hidup dalam keadaan sengsara sekiranya pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan seperti yang dijanjikan pembangkang.

Pensyarah di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Zulkarnain Muhamad Sori berkata, ini kerana beban RM43 bilion yang bakal ditanggung kerajaan akibat pemansuhan itu akan berpindah ke bahu rakyat sekiranya tiada langkah penjanaan dalaman (internal generator) dilakukan bagi mengimbangi jumlah pinjaman yang dihapus kira.

"Setakat ini tiada langkah penampan yang konkrit bagi meningkatkan kapasiti ekonomi negara selepas pinjaman itu dimansuhkan seperti yang diusulkan pembangkang.

"Beban pemansuhan pinjaman ini bakal ditanggung oleh rakyat dalam bentuk lain seperti peningkatan kadar cukai yang ekstrem atau pemansuhan program ekonomi lain. Adakah kita sanggup menanggung risiko sebegini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baru-baru ini, Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat untuk memansuhkan pinjaman PTPTN serta-merta jika pembangkang diberi mandat sebagai Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Jelas Zulkarnain, pendekatan kerajaan menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) selain Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ketika ini sudah sempurna bagi mengimbangi kadar kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi dan penciptaan peluang pekerjaan untuk mereka.

Katanya, sasaran 10 tahun ETP menyebut, pelaburan sejumlah RM1.4 trilion bakal menjana pendapatan negara kasar sebanyak RM1.7 trilion dan mencipta peningkatan 3.3 juta peluang pekerjaan pada peringkat terakhir pelaksanaan menjelang 2020.

"Kerajaan sekarang telah mewujudkan langkah penampan yang kukuh supaya peminjam PTPTN memperoleh peluang kerja yang terjamin agar proses pembayaran balik pinjaman mereka berjalan dengan licin.

"Berbanding janji pembangkang yang kabur, pemansuhan PTPTN sekiranya diteruskan oleh mereka akan menyebabkan isu berbangkit lain seperti pengangguran dan kemiskinan yang kritikal," ujarnya.

Jelasnya, sejajar dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, kerajaan melaksanakan langkah tepat dalam pembangunan ekonomi negara melalui pelbagai strategi di dalam ETP dan GTP dan bukannya menjadikan negara sebagai sebuah negara subsidi yang lemah dan tidak berdaya maju.

Sementara itu, tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, cadangan pembangkang memansuhkan pinjaman tersebut hanya akan memudaratkan negara dalam masa panjang.

"Kebanyakan janji politik pembangkang yang bermatlamatkan jangka pendek akan mengganggu struktur ekonomi negara dan pada masa sama menyebabkan rakyat menderita.

"PTPTN tidak boleh dihapuskan sama sekali kerana pemansuhan tersebut akan memberi impak kepada aliran pentadbiran kerajaan. Saya yakin jika mereka memegang tampuk pemerintahan, mereka tidak akan melaksanakan pemansuhan pinjaman ini," ujarnya.

Back to Top


Copyright © 2011 CPPS. All Rights Reserved.