hit counter for tumblr
CPPS - Centre for Public Policy Studies
  • Home
  • About Us
  • Events
  • Policy Areas
  • Publication
  • Resources
  • Be in The Loop
Election Watch

Ekonomi boleh lumpuh

Date: 9 April 2012

Pakar ekonomi, cendekiawan jawab syor Anwar hapus pinjaman PTPTN

Berdasarkan pengalaman mengurus IPTS serta IPTA, saya boleh nampak pentingnya pelajar membayar sebahagian daripada kos pengajian kerana mereka akan lebih bertanggungjawab dan bekerja kuat untuk mencapai kecemerlangan. Lebih-lebih lagi jika gagal di IPTS, mereka akan 'sakit'. Namun jika percuma sepenuhnya, mereka tidak menghadapi tekanan untuk cemerlang. - Tan Sri Dr Ghauth Jasmon, Naib Canselor Universiti Malaya (UM).

KUALA LUMPUR: Cadangan pembangkang menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), termasuk menggunakan wang Petronas, bakal melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap negara.

Amaran itu diberikan pakar ekonomi dan ahli akademik kerana wang yang dikatakan akan digunakan untuk menyelesaikan pinjaman itu sepatutnya disalurkan kepada projek pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam, berkata cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggunakan wang Petronas membiayai pendidikan negara bukan saja tidak praktikal, malah akan meranapkan syarikat minyak negara. 

“Cadangan pembangkang itu akan menyebabkan pelabur asing hilang keyakinan terhadap negara ini kerana dasar ekonomi yang tidak konsisten apabila tiba-tiba pinjaman itu dilupuskan dengan mudah dan kerajaan terpaksa menggunakan peruntukan lain menanggung hutang berkenaan, sehingga mengorbankan projek pembangunan lain yang lebih penting. 
“Jika kita meminjam, kita perlu memulangkannya dan jangan terlalu berharap pada subsidi kerana amalan bergantung kepada subsidi akan hanya menyebabkan rakyat menjadi kurang produktif,” katanya sambil mencadangkan supaya Petronas membentangkan laporan kewangan bagi memastikan tiada pihak boleh memutarbelitkan fakta sebenar.

Anwar dalam beberapa siri ceramah politiknya sebelum ini menyatakan pinjaman PTPTN bernilai RM43.6 bilion dapat dilepaskan dalam masa tiga tahun dengan pemotongan perbelanjaan yang membazir dan daripada syarikat kerajaan yang membuat keuntungan tinggi seperti Petronas.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Ibrahim Abu Shah, berkata jika benar Anwar mahu menyediakan pengajian percuma serta menyediakan duit poket untuk pelajar, mengapa pembangkang tidak memulakannya di Universiti Selangor (UNISEL).

“UNISEL yang di bawah kerajaan pembangkang turut naikkan harga yuran dan pelajar Melayu kita terpaksa keluar. Saya difahamkan, yuran pengajian di situ antara yang mahal sedangkan kualiti pengajian merosot.

“Anwar sendiri sebagai Penasihat Ekonomi Selangor tidak mampu mengotakan kata-katanya di UNISEL apatah lagi ingin melaksanakannya ke seluruh negara. Jadi siapa sebenarnya yang menipu rakyat,” katanya yang menjelaskan UiTM sehingga kini kekal antara pusat pengajian yang mengenakan yuran termurah selain pelajar miskin diberi bantuan.

Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Tan Sri Dr Ghauth Jasmon, berkata beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan Anwar kerana jelas sudah tidak relevan kerana negara maju seperti Australia dan England juga menanggung yuran pengajian masing-masing.

Beliau berpendapat cadangan itu tidak betul berdasarkan pengalamannya menerajui institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) selama 12 tahun, termasuk 11 tahun sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif di Universiti Multimedia (MMU), dan empat tahun berkhidmat di UM setakat ini.

“Berdasarkan pengalaman mengurus IPTS serta IPTA, saya boleh nampak pentingnya pelajar membayar sebahagian daripada kos pengajian kerana mereka akan lebih bertanggungjawab dan bekerja kuat untuk mencapai kecemerlangan.

“Lebih-lebih lagi jika gagal di IPTS, mereka akan `sakit’. Namun jika percuma sepenuhnya, mereka tidak menghadapi tekanan untuk cemerlang. Pendidikan percuma yang disediakan kerajaan pada peringkat sekolah rendah dan menengah, sudah dikira kemudahan istimewa,” katanya.

Back to Top


Copyright © 2011 CPPS. All Rights Reserved.