hit counter for tumblr
CPPS - Centre for Public Policy Studies
  • Home
  • About Us
  • Events
  • Policy Areas
  • Publication
  • Resources
  • Be in The Loop
Election Watch

PAC perlu libat wakil antarabangsa dalam siasatan 1MDB

Astro Awani 
May 12, 2015

KUALA LUMPUR
: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dinasihat untuk menggunakan pakar antarabangsa sebagai rujukan dalam prosiding siasatan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 19 Mei ini.

Pengerusi Pusat untuk Kajian Dasar Awam Institut Kajian Strategi & Kepimpinan (ASLI), Tan Sri Dr Ramon Navaratnam berkata, ia sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap isu yang melibatkan sensitiviti rakyat akhir-akhir ini.

"Lebih baik PAC mengambil badan bebas dan antarabangsa untuk bersama dalam siasatan 1MDB. Ia dilihat mengeluarkan persepsi wakil politik, sekali gus membebaskan pemikiran masyarakat siasatan itu mempunyai elemen bias.

"Masyarakat takut hasilnya tidak adil jika tiada wakil luar, ia sekali gus menjamin keyakinan rakyat terhadap kredibiliti PAC itu sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Ramon mengulas Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berkata pihaknya akan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF) Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negara (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah di dalam siasatan PAC.

Katanya, pada minggu berikutnya, 26 Mei 2015 pula akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB ketika ini, Arul Kanda Kandasamy serta mantan CEO Datuk Shahrul Ibrahim Halmi yang berkhidmat dari tahun Mac 2009 hingga Mac 2013.

Dalam pada itu, kata Ramon, PAC disaran menambah kakitangan dan ahli pakar di dalam proses siasatan berkenaan.

"Selain itu, sedikit peruntukan tambahan perlu disediakan kepada prosiding siasatan untuk memastikan dunia luar melihat proses dijalankan dengan penuh integriti.

"Ia melibatkan wang rakyat, jadi seharusnya ia memberi hasil yang benar-benar memuaskan hati semua pihak," jelasnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendesak ahli perniagaan Jho Low segera pulang ke negara ini untuk berdepan PAC.

Katanya, Jho Low juga perlu berani berhadapan media secara terbuka dan mempertahankan diri apabila diasak soalan yang bakal ditanyakan wartawan.


Read the original article on Astro Awani

Back to Top


Copyright © 2011 CPPS. All Rights Reserved.